11:44 PG
0


KUALA KRAI: Kanak-kanak perempuan, Siti Nur Zubaidah Hussin, 11, yang dikahwinkan dengan seorang lelaki tabligh berusia 41 tahun dan dilarikan lelaki terbabit ditemui di sebuah surau berhampiran Batu Caves, Selangor, semalam.

Siti Sarnan Mat Ail, 42, ibu kanak-kanak itu, berkata beliau dihubungi seorang lelaki yang tidak dikenali memaklumkan mengenai penemuan anaknya itu.
“Kira-kira jam 6.30 petang semalam saya terima panggilan daripada seorang lelaki yang memberitahu anak saya berada di sebuah surau Al-Ikhwan di Taman Samudera di Batu Caves. “Mulanya saya ragu-ragu kerana tidak mungkin anak saya dibawa hingga ke Selangor, tetapi apabila dibenarkan bercakap dengan anak saya barulah saya percaya,” katanya di sini, semalam.

Katanya, sebaik mengetahui anaknya ditinggalkan di surau terbabit, beliau segera menghubungi seorang saudaranya yang menetap berhampiran Batu Caves supaya pergi menemui Siti Nur Zubaidah.

“Saudara kakak kemudian menemui Siti Nur Zubaidah dalam keadaan
lemah tidak bermaya dan membawanya ke Balai Polis Kepong untuk membuat laporan polis sebelum membawanya ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan,” katanya.
Ketua Polis Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan kanak-kanak itu ditemui dalam keadaan separuh sedar di surau Al-Ikhwan, Taman Samudera oleh bapa saudara kanak-kanak itu pada jam 7.15 malam.

Siti Sarnan berkata, sehingga kini anaknya itu masih dirawat di hospital terbabit dan beliau dimaklumkan oleh saudaranya, Siti Nur Zubaidah dalam keadaan stabil, tetapi enggan bercakap kerana masih trauma.

“Mungkin dia lemah kerana tidak makan dan trauma apabila dilarikan lelaki itu sehingga ke Selangor. Saya tidak sabar untuk berjumpa anak saya itu selepas 20 hari dia hilang,” katanya.

Siti Sarnan berkata, beliau dan suaminya meneruskan perjalanan ke ibu kota semalam untuk menemui Siti Nur Zubaidah.

Sebelum ini, Siti Nur Zubaidah, dikahwinkan bapanya Hussin Mat Salleh, 54, kepada Shamsuddin Che Derahman, lelaki tabligh berusia 41 tahun selepas diperdaya bahawa perbuatan itu mengikut Sunnah Nabi Muhammad. Enakmen Keluarga Islam Kelantan menetapkan syarat usia berkahwin bagi perempuan minimum 16 tahun ke atas.

Siti Sarnan kemudian membuat laporan polis pada 25 Februari lalu.
Sementara itu, isteri pertama lelaki terbabit, Rohana, 33, berkata, sehingga kini suaminya yang dikenali sebagai ‘Sudin Ajaib’ itu tidak menghantar sebarang berita atau menghubunginya.

“Saya tidak tahu ke mana suami menghilang dan turut berusaha mengesannya sebelum ini, syukurlah Siti Nur Zubaidah ditemui,” katanya.

Siti Sarnan bersyukur anaknya ditemui dalam keadaan selamat dan mengharapkan lelaki itu ditahan polis bagi mengelakkan kanak-kanak lain menjadi mangsa. – Bernama

0 ulasan:

Catat Ulasan