Dr Chua umum tanding Presiden MCA dalam saingan tiga penjuru bersama Ong Tee Keat, Ong Ka Ting pada pemilihan 28 Mac
KUALA LUMPUR: Perebutan jawatan Presiden MCA bakal menyaksikan saingan tiga penjuru apabila bekas Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek semalam, mengumumkan akan merebut jawatan tertinggi pada pemilihan baru parti, Ahad ini.
Minggu lalu, Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat mengumumkan akan pertahankan jawatan yang disandangnya selepas bekas Presiden, Tan Sri Ong Ka Ting mengesahkan akan merebut jawatan lamanya pada pemilihan parti 28 Mac ini.
Dr Chua pada sidang medianya berkata, beliau membuat keputusan untuk bertanding kerana mahu membawa perubahan kepada perjuangan MCA, sekali gus menyatu padu dan menstabilkan semula parti yang dilanda krisis kepimpinan. Beliau mahu MCA yang mempunyai satu juta ahli mencontohi budaya kerja semut yang tahu tanggungjawab masing-masing, bekerja penuh dedikasi dan bersatu.
“Seekor semut mempunyai kekuatan terhad, tetapi satu barisan semut boleh menghasilkan pelbagai kejutan yang tidak dapat dibayangkan.
“Kalau satu juta ahli MCA bersatu padu, bekerja dengan penuh dedikasi, bergerak dalam satu pasukan maka kita ada harapan bahawa transformasi parti boleh dilakukan,” katanya.
Proses penyerahan borang pencalonan bagi merebut jawatan tertinggi MCA pada pemilihan baru parti Ahad ini akan berlangsung di di Dewan San Choon, Wisma MCA hari ini mulai jam 1 tengah hari sehingga 5 petang.
Terdahulu, Dr Chua berkata, keputusan beliau merebut jawatan Presiden turut didorong sokongan ahli MCA seluruh negara.
Katanya, sejak terpilih sebagai Timbalan Presiden, beliau sering turun padang dan mempunyai hubungan baik dengan ahli MCA termasuk pemimpin akar umbi.
“Saya faham aspirasi dan tuntutan ahli MCA, maka saya turut mempunyai strategi bagaimana dapat menyatu padukan ahli dan menstabilkan keadaan,” katanya.
Mengulas peluangnya untuk merebut jawatan tertinggi parti itu terutama selepas kemunculan semula Ka Ting, Dr Chua berkata umum perlu mengimbas kekalahan teruk MCA pada Pilihan Raya Umum 2008 ketika di bawah kepemimpinan bekas Presiden parti itu.
“Tetapi kita perhatikan organisasi MCA masih kukuh dan ahlinya taat serta mempunyai komitmen tinggi.
“Apa yang diperlukan ialah barisan kepemimpinan perlu menentukan hala tuju parti supaya dapat bergerak sebagai satu pasukan,” katanya.
Selain itu, Dr Chua percaya skandal seksnya turut dijadikan modal untuk menjatuhkan imejnya, namun beliau tidak akan menyerang peribadi pesaing dalam merebut jawatan tertinggi parti pada pemilihan kali ini.
Ong nafi jadi punca kemelut dalaman
KUALA LUMPUR: Bekas Presiden MCA, Tan Sri Ong Ka Ting menafikan beliau menjadi punca kepada pelbagai kemelut kepemimpinan yang melanda parti itu ketika ini.
Ong berkata, dakwaan Presiden parti, Datuk Seri Ong Tee Keat bahawa kegagalan beliau menyelesaikan masalah MCA ketika memegang jawatan nombor satu parti berkenaan sebagai punca kemelut dalaman adalah tidak benar memandangkan ia hanya berlaku selepas beliau melepaskan jawatan itu pada pemilihan yang diadakan pada Oktober 2008.
“Adalah tidak benar bahawa kemelut MCA disebabkan kegagalan saya.
“Ahli MCA dan orang awam memang tahu bahawa krisis MCA hanya berlaku selepas saya melepaskan kuasa dan saya tidak ada kena mengena dengannya,” katanya kepada Berita Harian, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Tee Keat kelmarin, yang mendakwa kemelut kepemimpinan yang melanda MCA sekarang berpunca daripada kegagalan Ka Ting menyelesaikan pelbagai masalah parti ketika menjadi Presiden, termasuk masalah berkaitan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).
Pada majlis makan malam anjuran MCA Cawangan Ayer Hitam di Yong Peng, kelmarin, Ka Ting merayu perwakilan supaya memilih pemimpin yang tepat sebagai pemimpin parti itu agar krisis dalaman MCA mampu dipulihkan.
Beliau yang memulakan kempen bagi merebut jawatan Presiden MCA itu berkata, dirinya menyerahkan sepenuh kepercayaan kepada perwakilan untuk membuat pilihan pemimpin yang dianggap paling layak menerajui MCA.
“Saya menawarkan diri bertanding jawatan Presiden MCA bukan saja untuk menyatu padukan ahli parti, malah saya yakin mampu menstabilkan keadaan dalaman parti.
“Jadi, saya sangat berharap agar perwakilan bijak memilih individu yang bakal memimpin parti,” katanya.
Sebelum ini bekas Presiden MCA, termasuk Tun Dr Ling Liong Sik terus berundur daripada terbabit soal parti.
Tee Keat ingatkan calon elak telagah
KUALA LUMPUR: Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat mengingatkan setiap calon supaya mengikut semua peraturan ditetapkan dan tidak bertelagah sesama sendiri sepanjang proses penamaan calon yang dijadualkan hari ini dan pemilihan, Ahad ini.
“Saya ingatkan rakan saya dalam parti bahawa walaupun pemilihan itu mungkin ada kalanya sengit tapi kenalah kita ingat selalu bahawa ini pemilihan parti dan semua pihak perlu ikut peraturan yang ditetapkan.
“Kita tidak mahu ada yang bertelagah,” katanya ketika ditemui pada Program Mesra Bersama Rakyat di Projek Perumahan Rakyat (PPR), di sini, semalam.
Hadir sama pada program itu ialah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Mengulas mengenai peluangnya mengekalkan kedudukan sebagai Presiden MCA, Ong berkata, beliau masih belum mendapat sebarang maklumat mengenainya kerana belum dicalonkan lagi.
“Belum dapat pencalonan lagi bagaimana pula kita nak tahu kecerahan peluang kita,” katanya.
Perkembangan terbaru dalam pergolakan parti komponen Barisan Nasional itu (BN) menyaksikan MCA memerlukan satu lagi pemilihan untuk mengurangkan jurang perpecahan di kalangan ahli yang berlanjutan sejak setahun lalu.
0 ulasan:
Catat Ulasan